Tanggal 14 Februari 2011M, bersamaan 12 Rabiul Awal 1432H adalah tarikh bersejarah iaitu Hari Keputeraan Nabi Muhammad SAW. Baginda merupakan insan yang paling mulia dan sebaik-baik manusia yang memiliki darjat keimanan yang paling tinggi. Justeru wajiblah bagi semua umat Nabi Muhammad SAW mencontohi keperibadian Baginda serta menjadikan Baginda sebagai contoh tauladan terbaik. Bagi memperingati tarikh bersejarah ini, pihak asrama telah mengadakan Sambutan Maulidurrasul SAW peringkat asrama yang diadakan pada tarikh yang sama iaitu 14 Februari 2011M.
Majlis bermula seawal jam 8.00 pagi dengan semua pelajar berhimpun di Dataran Sekolah untuk mendengar taklimat khas yang disampaikan oleh Ketua Umum merangkap Ketua Asrama iaitu Saudara Muhammad Tajuddin b. Mohd Asri. Selesai sahaja taklimat tersebut beliau mengetuai laungan selawat seterusnya memimpin perarakan sempena sambutan ini. Sepanjang aktiviti sambutan ini dijalankan terdapat 3 pertandingan yang dijalankan iaitu :
Pertandingan Kumpulan Perarakan Terbaik
Pertandingan Kain Rentang Terbaik
Pertandingan Nasyid
Pertandingan-pertandingan ini diadili oleh semua guru-guru asrama dan kategori peserta adalah mengikut dorm-dorm yang telah disusun di asrama. Perarakan berjalan dengan baik dan para peserta dapat melaungkan selawat sebagai tanda cintakan Nabi Muhammad SAW mengelilingi Kampung Sungai Merab Luar. Perarakan berakhir dengan memasuki pintu utama sekolah dan menuju semula ke Dataran Sekolah. Sampai saja di dataran, peserta dikehendaki meneruskan selawat kerana para juri iaitu guru-guru warden asrama akan mengambil markah bagi Pertandingan Kain Rentang Terbaik pula.
Para peserta kemudiannya duduk di bangku-bangku yang disediakan untuk majlis seterusnya. Sebaik saja Puan Pengetua SAM Sungai Merab Luar tiba di dataran, majlis sambutan dimulakan dengan ucapan aluan sepasang pengacara iaitu Saudara Muhammad Shukri dan Saudari Mastura. Majlis diserikan dengan ucapan Ketua Guru Asrama iaitu Ustaz Haji Mohd Fadzil Ibrahim dan ucapan khas oleh Puan Pengetua, Puan Hajjah Noor Hiyati bt. Othaman. Selesai ucapan majlis diceriakan dengan persembahan sajak dan nasyid oleh Kumpulan Nasyid Junior SAMSMEL.
Selesai sahaja acara di dataran, para guru dan tetamu jemputan dijemput untuk menjamu selera di Bilik Jamuan manakala para pelajar bergerak ke lokasi acara seterusnya iaitu Pertandingan Nasyid. Pertandingan Nasyid dijalankan di dua lokasi iaitu Surau Al-Azhar bagi peserta perempuan dan dewan bangunan baru bagi peserta lelaki. Pertandingan nasyid berjalan dengan meriah sekali di mana para peserta menunjukkan bakat mereka dalam seni suara. Acara berjalan sehingga jam 12.30 tengahari dan ditamatkan sebaik sahaja waktu makan tengahari bermula. Keputusan bagi semua acara yang dipertandingkan diumumkan pada hari Isnin minggu hadapannya semasa sesi perhimpunan pagi. Secara keseluruhan semua pelajar asrama memberikan kerjasama yang penuh dalam menjayakan majlis ini. Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan Majlis Sambutan Maulidurrasul SAW 2011. Berikut adalah gambar-gambar sepanjang majlis tersebut :