Sabtu, 30 Julai 2011

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan


Ramadhan ... Hadirmu dinanti, pemergianmu ditangisi. Sempena kedatangan bulan Ramadhan Al-Mubarak ini, pihak pentadbir dan semua guru-guru warden asrama, SAM Sungai Merab Luar ingin mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa & semoga Allah SWT menerima segala amal ibadat kita disepanjang bulan mulia ini.

Sesungguhnya bulan Ramadhan bukannya disambut tetapi diisi dengan pelbagai amal ibadat seperti berpuasa di siang hari, membanyakkan tilawah Al Quran dan sedekah juga jangan dilupakan. Disamping solat terawikh pada malamnya, carilah peluang agar dapat menunaikan ibadat pada malam Lailatul Qadar. Di bulan penuh barakah ini, Allah lipatkan gandakan pahala setiap amalan. Justeru rebutlah peluang keemasan ini untuk menjadi hamba Allah yang beriman dan beramal soleh.

Selasa, 19 Julai 2011

Program Puasa Perdana 2011

Pihak sekolah telah mengadakan Program Puasa Perdana yang melibatkan guru-guru dan semua pelajar asrama. Program bermula seawal jam 4.30 pagi di mana pelajar asrama bangun beramai-ramai untuk bersahur di dewan makan. Kemudian mereka bersiap untuk menunaikan solat subuh berjemaah di surau.

Oleh kerana hampir keseluruhan pelajar sekolah berpuasa pada hari ini, pihak kantin sekolah tidak beroperasi. Kebetulan pelajar sekolah rendah juga bercuti pada hari yang sama. Pada pukul 6.45 petang, semua pelajar mula bergerak ke dewan makan untuk mengambil juadah berbuka puasa. Sementara menunggu masuknya waktu maghrib, para pelajar membaca mathurat beramai-ramai diikuti dengan tazkirah daripada Ketua Warden Asrama, Ustaz Mohd Fadzil bin Ibrahim.

Program Puasa Perdana ini merupakan latihan awal sebelum tibanya puasa sebenar iaitu pada bulan Ramadhan AlMubarak nanti. Semoga dengan terlaksananya program ini, semua pelajar lebih bersedia untuk menghadapi ibadah puasa dan dapat menjalankan ibadah puasa sepanjang bulan Ramadhan dengan bersungguh-sungguh. Semoga Allah menerima ibadah puasa kita ini. Berikut adalah gambar-gambar semasa berbuka puasa :






Ahad, 17 Julai 2011

Bicara Ad-Din Bersama Imam Muda Asyraf

Penghuni asrama SAMSMeL bertuah kerana dapat bertemu dengan Juara Imam Muda Musim Pertama iaitu Imam Muda Asyraf di program Bicara Ad-Din yang diadakan di Masjid Al-Istiqomah, Kg. Sungai Merab Luar. Masjid tersebut berada bersebelahan dengan sekolah dan pihak jawatankuasa masjid telah menjemput semua pelajar asrama untuk sama-sama memeriahkan program Bicara Ad-Din itu.

Para pelajar asrama makan malam lebih awal iaitu pada jam 5.30 petang dan kemudian bergerak ke masjid untuk menghadiri majlis bacaan yasin dan tahlil yang diadakan sebelum solat maghrib. Selepas selesai solat maghrib, Imam Muda Asyraf memulakan ceramah beliau yang bertajuk "Bulan Ramadhan : Masjid Destinasiku".
Ceramah yang disampaikan cukup bertenaga dengan intonasi dan nada suara yang unik. Isi ceramah dikupas dengan sangat menarik memudahkan semua jemaah yang mendengar ceramah beliau samada di dalam masjid atau yang diluar memahaminya dengan jelas. Jemaah lelaki yang tidak dapat memasuki masjid mengikuti ceramah beliau diperkarangan masjid melalui pancaran lcd projektor. Ternyata program ini mendapat sambutan yang menggalakkan.
Selesai ceramah, para jemaah bersolat isyak dan kemudian para pelajar sempat bersalaman dan mengambil gambar kenang-kenangan bersama beliau yang merupakan icon remaja muslim masakini. Semoga ceramah yang diberikan benar-benar dapat difahami, dihayati seterusnya diamalkan oleh semua yang mendengarnya. Berikut adalah gambar-gambar sekitar program tersebut :








ANDA MUNGKIN GEMAR