Jumaat, 17 Jun 2011

Program Solat Gerhana Bulan


Fenomena gerhana bulan penuh adalah sesuatu yang jarang-jarang berlaku. Namun pada tahun ini kita berpeluang menyaksikannya dua kali iaitu pada pagi Khamis, 16 Jun 2011 dan 10 Disember 2011 nanti. Ia merupakan suatu pengalaman yang sangat berharga dan tidak harus dilepaskan.

Exco Dakwah SAMSMEL dengan kerjasama Kelab Falak SAMSMEL telah menganjurkan suatu program sempena berlakunya femonena iaitu Program Solat Gerhana Bulan ini. Program dimulakan seawal jam 7.45 malam pada Rabu, 15 Jun 2011 dengan tazkirah khas mengenai Gerhana Bulan yang disampaikan oleh Guru Penasilhat Kelab Falak, Ustaz Zulkifle bin Mohd Zazuly. Di dalam tazkirahnya, beliau menerangkan tentang pengertian falak dan banyak menghuraikan tentang gerhana bulan. Beliau juga memperkenalkan sebuah perisian yang dinamakan "Stellarium" yang berperanan memaparkan kedudukan dan pergerakan bulan secara digital.

Selesai solat Isyak berjemaah, Ketua Warden Asrama meneruskan program dengan Kuiz Bijak FALAK. Sebelum itu beliau memaparkan sebuah video berkenaan kaedah menentukan qiblat menggunakan "Google Earth" dan sebuah slide show yang memaparkan tokoh-tokoh Astronomi Islam. Paparan ini antara yang akan ditanya di dalam soalan Kuiz Bijak Falak nanti. Selesai tayangan video & slide show tersebut semua pelajar diberikan sehelai kertas yang mengandungi soalan-soalan kuiz tersebut. Kuiz berakhir tepat jam 10.00 malam dan setelah semua pelajar menyerahkan kertas soalan, mereka bergegas ke Dewan Makan untuk minum malam seterusnya tidur lebih awal untuk bangun pada jam 3.30 pagi nanti bagi menyaksikan gerhana bulan penuh dan menunaikan solat sunat gerhana bulan.

Pada jam 3.30 pagi, Khamis 16 Jun 2011 semua pelajar asrama telah berkumpul di Dataran Sekolah. Mereka tidak sabar untuk menyaksikan fenomena gerhana bulan yang dinantikan itu. Sebelum itu semua pelajar diminta menunaikan solat sunat tahajjud dan berzikir. Gerhana bulan telah kelihatan dan boleh dilihat dengan mata kasar. Namun agak sedikit mengecewakan kerana awan tebal menghalang gerhana bulan tersebut daripada jelas kelihatan. Tepat jam 4.00 pagi Ustaz Zulkifle mengetuai solat sunat gerhana bulan dan kemudiannya membacakan khutbah khas sempena gerhana bulan. Selesai khutbah dibacakan semua pelajar diberikan peluang untuk menyaksikan gerhana tersebut menggunakan teleskop dan teropong yang disediakan. Pelajar perempuan terlebih dahulu diberikan peluang untuk melihat gerhana bulan dan kemudiannya pelajar lelaki. Program ini berjalan dengan lancar dan berakhir pada jam 5.15 pagi. Para pelajar kemudiannya pulang ke dorm masing-masing dan bersiap sedia bagi mendirikan solat subuh di surau. Berikut adalah gambar-gambar sepanjang program tersebut :




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ANDA MUNGKIN GEMAR